Hari 1: Misi Raya ke Batam! – Dari Jeti Stulang ke ‘Syurga’ Bundle Sungai Jodoh

  • Post author:
  • Reading time:5 mins read
  • Post published:23 March 2026
  • Post comments:0 Comments

Salam semua! Pejam celik, pejam celik, dah masuk Raya ketiga. Orang lain mungkin masih sibuk mengadap rendang dan ketupat kat kampung, tapi kami sekeluarga (bersama rombongan Cik Kiah versi moden) buat keputusan drastik: Kita serbu Batam! Edisi kali ini memang meriah sebab bukan saya sorang, tapi sekali dengan keluarga adik saya, Azizi. Bayangkan nak bawa anak-anak kecil dari umur setahun sampai 13 tahun, memang mencabar mental dan fizikal mak ayah ni. Memang satu cabaran, tapi itulah yang buat trip ni jadi memori paling mahal.

Drama Stulang Laut & Feri MV Oceanna

Perjalanan kami bermula seawal pagi di Jeti Stulang Laut (JB). Kenapa Stulang? Sebab dekat dan senang nak parking. Seawal jam 6 pagi, keluarga adik dah bertolak dari rumah mereka. Dengan beg gergasi (yang kebanyakannya kosong sebab rancang nak shopping), kami beratur pada jam 7.30 pagi di kaunter Citra Ferry-Indomas.

Misi bermula! Beratur di Stulang Laut. Beg kosong lagi ni, tunggu bila balik nanti kita tengok dia ‘beranak’ ke tak.

Tips Perjalanan #1: Kalau bawa anak ramai macam kami, tolonglah datang sekurang-kurangnya 2 jam 30 minit awal. Proses imigresen dan check-in feri masa musim perayaan ni faham-faham sajalah dia punya baris tu kalau lewat memang tak boleh bawa bincang!

Kami naik feri MV Oceanna 13. Budak-budak ni, asal nampak laut, dia punya excited lain macam. Anak-anak dan anak buah saya, siap pegang tiket sendiri sebab bangga betul dapat tiket children. Dalam feri, suasana cukup selesa. Dua jam setengah atas laut tak terasa sangat sebab sibuk layan drama budak-budak nak ke tandas, makan jajan dan tanya “Lama lagi ke, Ayah?”.

Melayan si kecil ni tanya abang dan kakak-kakak dia yang duduk tempat lain
Suasana dalam feri selepas semakan di Imigresen dan Check in Feri

Ketibaan & Perang Sambal di Ayam Goreng Fatmawati

Tepat jam 12:00 tengah hari (waktu Indonesia Barat), kami mendarat di Batam Centre. Tapi sebelum ke mana-mana kami ke Kaunter Feri di Batam Centre untuk dapatkan tiket balik nanti. Ada tambahan Rp65,000 setiap orang untuk tiket balik ditambah cukai jeti sebanyak Rp135,000 menjadikan Rp200,000 setiap orang untuk dapatkan tiket balik.

Pemberitahuan tambahan Rp65,000 setiap orang kerana krisis tenaga global
Jadual tiket balik yang ada untuk feri ini

Keluar je dari jeti, perut dah mula buat konsert rock. Tanpa buang masa, kami terus melintas ke Mega Mall Batam Centre yang terletak betul-betul di depan jeti.

Destinasi pertama? Restoran Ayam Goreng Fatmawati. Kalau datang Indonesia tak makan ayam penyet atau ayam goreng dia, memang tak sah. Kami tempah meja panjang sebab rombongan kami ni dah macam saiz satu pasukan bola sepak. Ayamnya garing, sambalnya pula… pergh, boleh berair mata! barulah rasa “Raya di perantauan”.

Ambil meja panjang terus bila makan di Restoran Ayam Goreng Fatmawati ni

Tips Perjalanan #2: Di Batam, sambal dia lain macam pedas. Kepada yang tak tahan pedas, sila pesan “sambal dipisah” atau sedia ubat sakit perut awal-awal. Jangan kata abang tak payung!

Nak kaki sentiasa sedia kena mulakan dengan kasut yang selesa, kasut yang ada pun macam dah “keras” kan 🥶. Sambar sepasang kat Matahari

Tawaf Nagoya Hill: Makan malam + Cari barang ‘Rare’

Selesai makan, kami teruskan misi ke Nagoya Hill Shopping Mall. Ini adalah “Medan” bagi pencinta shopping di Batam. Mall ni luas dia boleh buat kaki kita rasa nak tercabut. Budak-budak awal-awal lagi dah sangkut kat booth Festival Ramadhan. Sempatlah ambil gambar kenangan dengan hiasan bulan bintang sementara mak-mak mereka mula buat “operasi mencari barang keperluan”.

Berjalan menuju Nagoya Hills dari Hotel dapatkan suasana negara orang tu
Masih tak boleh “move on” dengan Ramadan, jadi kita ambil la gambar kat booth ni

Sambil isteri dan adik ipar sibuk belek kain dan cenderamata, saya dan Azizi jadi bodyguard bawa anak-anak main kat game centre. Sambil tu, sempatlah kami rembat barang-barang keperluan diri kat sana. Harga? Memang jauh lagi murah kalau pandai cari kedai yang betul.

Sempat mencuba Ayam goreng di Tip Top Nagoya Hills untuk makan malam
Tangkapan hari pertama di Nagoya Hills, harga sangat Marhaen tu yang sambar je

Kemuncak Hari Pertama: ‘Bundle Hunt’ di Sungai Jodoh

Malam makin pekat, tapi tenaga kami macam baru lepas cas bateri 100%. Jam 9:30 malam, kami ke Pasar Malam Sungai Jodoh. Kalau korang jenis suka barang bundle (pakaian bekas) atau nak cari barang baru tapi harga marhaen, sinilah tempatnya.

Suasana kat sini memang meriah. Bau sate padang bertebaran, suara abang-abang peniaga menjerit “Sepuluh ribu! Sepuluh ribu!” memeriahkan suasana. Saya dah mula rambang mata tengok baju outdoor dan kasut-kasut rare yang ada kat situ.

Tips Perjalanan #3: Ada satu kedai tu, isteri saya tanya harga baju, abang tu jawab “Untuk kakak yang cantik, saya bagi harga kasih sayang.” Terus isteri saya senyum sampai telinga, padahal harga tu sebenarnya boleh tawar lagi! Itulah teknik marketing Batam yang kita kena belajar. Jadi kita pun boleh juga guna tips sama pada peniaga sana kalau nak minta murah tu 😅🥶

Rumusan Hari 1

Kami pulang ke hotel jam 11:00 malam dengan kaki yang “masih kuat ni” dan hati yang puas. Hari pertama je beg dah mula nampak “berisi”. Esok kami nak ke Jembatan Barelang pula, dengar kata ada makanan legend dan tempat shopping borong kat sana!

Jom pegi Hari ke-2!

>

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.