Salam semua! Pejam celik, pejam celik, dah masuk Raya ketiga. Orang lain mungkin masih sibuk mengadap rendang dan ketupat kat kampung, tapi kami sekeluarga (bersama rombongan Cik Kiah versi moden) buat keputusan drastik: Kita serbu Batam! Edisi kali ini memang meriah sebab bukan saya sorang, tapi sekali dengan keluarga adik saya, Azizi. Bayangkan nak bawa anak-anak kecil dari umur setahun sampai 13 tahun, memang mencabar mental dan fizikal mak ayah ni. Memang satu cabaran, tapi itulah yang buat trip ni jadi memori paling mahal.
Drama Stulang Laut & Feri MV Oceanna
Perjalanan kami bermula seawal pagi di Jeti Stulang Laut (JB). Kenapa Stulang? Sebab dekat dan senang nak parking. Seawal jam 6 pagi, keluarga adik dah bertolak dari rumah mereka. Dengan beg gergasi (yang kebanyakannya kosong sebab rancang nak shopping), kami beratur pada jam 7.30 pagi di kaunter Citra Ferry-Indomas.

Tips Perjalanan #1: Kalau bawa anak ramai macam kami, tolonglah datang sekurang-kurangnya 2 jam 30 minit awal. Proses imigresen dan check-in feri masa musim perayaan ni faham-faham sajalah dia punya baris tu kalau lewat memang tak boleh bawa bincang!
Kami naik feri MV Oceanna 13. Budak-budak ni, asal nampak laut, dia punya excited lain macam. Anak-anak dan anak buah saya, siap pegang tiket sendiri sebab bangga betul dapat tiket children. Dalam feri, suasana cukup selesa. Dua jam setengah atas laut tak terasa sangat sebab sibuk layan drama budak-budak nak ke tandas, makan jajan dan tanya “Lama lagi ke, Ayah?”.


Ketibaan & Perang Sambal di Ayam Goreng Fatmawati
Tepat jam 12:00 tengah hari (waktu Indonesia Barat), kami mendarat di Batam Centre. Tapi sebelum ke mana-mana kami ke Kaunter Feri di Batam Centre untuk dapatkan tiket balik nanti. Ada tambahan Rp65,000 setiap orang untuk tiket balik ditambah cukai jeti sebanyak Rp135,000 menjadikan Rp200,000 setiap orang untuk dapatkan tiket balik.


Keluar je dari jeti, perut dah mula buat konsert rock. Tanpa buang masa, kami terus melintas ke Mega Mall Batam Centre yang terletak betul-betul di depan jeti.
Destinasi pertama? Restoran Ayam Goreng Fatmawati. Kalau datang Indonesia tak makan ayam penyet atau ayam goreng dia, memang tak sah. Kami tempah meja panjang sebab rombongan kami ni dah macam saiz satu pasukan bola sepak. Ayamnya garing, sambalnya pula… pergh, boleh berair mata! barulah rasa “Raya di perantauan”.

Tips Perjalanan #2: Di Batam, sambal dia lain macam pedas. Kepada yang tak tahan pedas, sila pesan “sambal dipisah” atau sedia ubat sakit perut awal-awal. Jangan kata abang tak payung!

Tawaf Nagoya Hill: Makan malam + Cari barang ‘Rare’
Selesai makan, kami teruskan misi ke Nagoya Hill Shopping Mall. Ini adalah “Medan” bagi pencinta shopping di Batam. Mall ni luas dia boleh buat kaki kita rasa nak tercabut. Budak-budak awal-awal lagi dah sangkut kat booth Festival Ramadhan. Sempatlah ambil gambar kenangan dengan hiasan bulan bintang sementara mak-mak mereka mula buat “operasi mencari barang keperluan”.


Sambil isteri dan adik ipar sibuk belek kain dan cenderamata, saya dan Azizi jadi bodyguard bawa anak-anak main kat game centre. Sambil tu, sempatlah kami rembat barang-barang keperluan diri kat sana. Harga? Memang jauh lagi murah kalau pandai cari kedai yang betul.


Kemuncak Hari Pertama: ‘Bundle Hunt’ di Sungai Jodoh
Malam makin pekat, tapi tenaga kami macam baru lepas cas bateri 100%. Jam 9:30 malam, kami ke Pasar Malam Sungai Jodoh. Kalau korang jenis suka barang bundle (pakaian bekas) atau nak cari barang baru tapi harga marhaen, sinilah tempatnya.
















Suasana kat sini memang meriah. Bau sate padang bertebaran, suara abang-abang peniaga menjerit “Sepuluh ribu! Sepuluh ribu!” memeriahkan suasana. Saya dah mula rambang mata tengok baju outdoor dan kasut-kasut rare yang ada kat situ.
Tips Perjalanan #3: Ada satu kedai tu, isteri saya tanya harga baju, abang tu jawab “Untuk kakak yang cantik, saya bagi harga kasih sayang.” Terus isteri saya senyum sampai telinga, padahal harga tu sebenarnya boleh tawar lagi! Itulah teknik marketing Batam yang kita kena belajar. Jadi kita pun boleh juga guna tips sama pada peniaga sana kalau nak minta murah tu 😅🥶
Rumusan Hari 1
Kami pulang ke hotel jam 11:00 malam dengan kaki yang “masih kuat ni” dan hati yang puas. Hari pertama je beg dah mula nampak “berisi”. Esok kami nak ke Jembatan Barelang pula, dengar kata ada makanan legend dan tempat shopping borong kat sana!
Jom pegi Hari ke-2!
.jpg)