Selamat datang ke hari kedua kembara kami di Tanjung Pinang! Kalau korang dah baca kisah kejar feri dari Berjaya Waterfront dan hari pertama kami tiba di sini, mesti korang tahu kami datang bukan sekadar bercuti. Kami datang beraya Aidiladha bersama saudara. Jadi hari kedua ni kami ambil peluang jalan-jalan dulu sebelum hari raya.
Hari ni saya dan isteri bawa Ayra, Afya dan si kecil Aafy pusing bandar Tanjung Pinang. Tak ada jadual ketat. Kami ikut saja ke mana kaki melangkah, dan ke mana budak-budak nak pergi.
🧭 Siri Kembara Tanjung Pinang 2022
Hari 1 (Bahagian 1): Kejar feri dari Berjaya Waterfront
Hari 1 (Bahagian 2): Tiba di Tanjung Pinang
👉 Hari 2: Bandar lama, pasar dan Vihara 500 Lohan
Hari 3: Pulau Penyengat dan Trans Studio Garden
Hari 4 dan 5: Raya Aidiladha, The Manabu dan pulang ke JB
1Pagi Santai di Kampung
Pagi Jumaat tu kami mula dengan santai. Lepas sarapan di rumah saudara, saya bawa budak-budak jalan kaki sekejap di lorong kampung. Udara pagi masih segar, jalan pun lengang. Bunyi motor sesekali lalu, ada jiran tegur dari beranda. Suasana macam kampung kita juga, cuma loghat yang lain sikit.

2Ronda Kedai Kain di Bandar
Lebih kurang jam 11 pagi, kami masuk ke pusat bandar. Isteri memang dah pasang niat nak tengok kain. Di bandar Tanjung Pinang ni banyak deretan kedai kain dan pakaian. Ada kain pasang, kain batik, telekung dan baju budak. Harga pun berbaloi kalau pandai tawar menawar.


Saya pula ambil peluang jalan di kawasan bandar lama. Bangunan kedai lama dua tingkat masih banyak, ada yang dah dicat semula dan ada yang kekal dengan rupa asal. Kalau korang suka ambil gambar jalanan, kawasan ni memang menarik.

💡 Tips Perjalanan #1: Bawa duit Rupiah dalam nilai kecil bila masuk kedai kain dan pasar. Peniaga lebih senang nak bagi harga bila kita bayar tunai dan tak payah tunggu duit baki.
3Pasar di Pusat Bandar
Dari kedai kain, kami singgah pasar di pusat bandar. Ini antara tempat yang saya paling suka bila travel. Pasar orang tempatan, bukan pasar pelancong. Ikan bilis bersusun dalam bakul, sayur segar, rempah dan macam-macam hasil laut kering. Kepulauan Riau memang terkenal dengan hasil laut, jadi ikan bilis di sini memang cantik.


Budak-budak pun seronok. Bagi mereka, pasar ni macam tempat baru yang penuh warna. Pembantu kecil saya sibuk tunjuk itu dan ini. Nasib baik tak minta beli semua.
💡 Tips Perjalanan #2: Pergi pasar sebelum tengah hari. Lepas tu panas dah terik dan banyak peniaga mula kemas barang.
4Vihara Ksitigarbha Bodhisattva dan 500 Patung Lohan
Lepas rehat tengah hari, kami lalu semula pusat bandar sebelum bergerak ke destinasi petang. Destinasi yang ramai orang cadangkan bila datang Tanjung Pinang, iaitu Vihara Ksitigarbha Bodhisattva. Tempat ni terkenal dengan ratusan patung Lohan yang bersusun di kawasan terbuka.


Sampai di sana lebih kurang jam 4 petang. Bila masuk ke kawasan patung, memang terpegun. Setiap patung Lohan ada riak wajah dan gaya yang berbeza. Ada yang senyum, ada yang serius, ada yang macam tengah bergurau. Kami tak masuk ke ruang ibadat. Kami cuma lihat dan ambil gambar di kawasan luar dengan penuh hormat.


💡 Tips Perjalanan #3: Ini tempat ibadat. Pakai pakaian sopan, jaga suara dan ingatkan anak-anak jangan panjat atau sentuh patung. Elakkan datang tengah hari kerana kawasan terbuka ni memang panas.
5Makan Petang dan Budak-budak Lepas Geram di Padang
Perut dah mula berbunyi. Kami singgah makan petang di sebuah medan selera. Menu biasa saja, tapi bila makan ramai-ramai dengan keluarga, semua rasa sedap. Lepas makan, budak-budak terus lari ke padang berdekatan. Ada tayar lama yang jadi permainan. Itu dah cukup buat mereka gembira.


6Petang Pertama di Trans Studio Garden
Lebih kurang jam 5.40 petang, kami sampai di Trans Studio Garden Tanjung Pinang. Tempat ni tak jauh dari rumah saudara, jadi senang nak singgah. Sebaik saja nampak papan tanda masuk, budak-budak dah melompat. Wajib bergambar di gerbang dulu sebelum masuk.

Masuk saja ke dalam, kami disambut deretan bangunan warna-warni bergaya Belanda dengan roda ferris di hujung jalan. Cuaca petang redup, jadi sesuai sangat untuk jalan santai sambil tinjau kawasan. Budak-budak berlari ke sana sini, teruja tengok semua benda. Petang ni kami sekadar pusing dan rasa suasana. Seronok punya pasal, kami sepakat nak datang lagi esok malam untuk main lebih lama.


7Rumusan Hari 2
- Jalan pagi di kampung
Pagi - Kedai kain dan bandar lama
Lebih kurang 11 pagi - Pasar di pusat bandar
Tengah hari - Vihara Ksitigarbha Bodhisattva
Lebih kurang 4 petang - Makan petang dan main di padang
Lewat petang - Petang pertama di Trans Studio Garden
Lebih kurang 5.40 petang
Hari kedua ni memang santai tapi penuh. Kami dapat rasa suasana harian orang Tanjung Pinang, dari pasar hinggalah ke kedai kain. Esok jadual lebih padat. Kami akan naik pompong ke Pulau Penyengat dan malamnya, kembali ke Trans Studio Garden untuk main sepuas hati. Jumpa di hari ketiga!

