Hari ketiga Misi Raya ke Batam kami bawa rombongan naik bukit ke Puncak Beliung Batam. Tempat ni viral sebab ada buaian gergasi dan spot gambar dengan latar tasik dan bukit hijau. Lepas tu kami sambung tour kopi, singgah masjid paling cantik di Batam Centre dan tutup hari dengan senja di pantai pasir pink. Padat? Memang padat!
Kopi Alpukat Sebelum ke Puncak Beliung Batam
Sebelum naik van, saya sempat cuba kopi susu alpukat dari minimart. Kopi campur avocado? Pelik bunyinya, tapi sedap rupanya! Jam 9 pagi kami dah bertolak ke kawasan Sekupang.

Puncak Beliung Batam: Berbuai di Atas Bukit
Kami sampai di Puncak Beliung Batam jam 9 pagi. Pintu masuknya berbentuk matahari besar berwarna oren, memang tak boleh tak bergambar. Lepas beli tiket, setiap orang dapat gelang tangan. Simpan elok-elok sebab itu tiket untuk naik permainan.

Permainan paling best ialah kerusi bunga yang meluncur atas kabel merentasi tasik. Duduk dalam bulatan bunga kuning dan merah, gambar dia memang macam poskad.


Kemudian giliran buaian gergasi. Semua orang cuba, dari anak 7 tahun sampailah ke mak ayah. Bila buaian ditarik ke belakang dan dilepaskan, perut rasa macam tertinggal kat atas bukit. Tapi lepas turun, semua nak naik lagi!

Tips Perjalanan #7: Datang awal pagi sebelum jam 10. Selain cuaca belum terlalu panas, barisan untuk buaian gergasi pun pendek. Pakai seluar dan kasut yang selesa sebab ada laluan berbukit dan berpasir.
Sebelum turun, kami ambil gambar di papan tanda Puncak Beliung dan tanda I Love Batam dengan latar laut. Kami habiskan hampir 3 jam 30 minit di sini dan budak-budak masih belum puas.


Makan Tengah Hari dan Lapis Legit
Jam 1.30 petang kami makan di RM Talago Surya, satu lagi restoran masakan Padang. Kalau dah ke Batam, memang susah nak lari dari nasi Padang. Lepas makan, kami singgah Cake Lapis Putri Melayu untuk beli kek lapis sebagai oleh-oleh.


Tour Kopi di 70 Fahrenheit Koffie
Jam 3.20 petang kami sampai di 70 Fahrenheit Koffie di kawasan Golden City, Bengkong. Lawatan di sini percuma. Kakak pemandu lawatan terangkan sejarah kopi Indonesia, jenis biji kopi dan proses roasting. Kami juga dapat cuba sampel kopi.


Tips Perjalanan #8: Lawatan kopi ni percuma, tapi mereka akan cadangkan produk untuk dibeli. Tetapkan bajet dulu. Kalau nak beli, minta rasa dulu sebelum bayar.
Masjid Raja Hamidah dan Welcome to Batam
Petang tu kami ke Batam Centre untuk solat Asar di Masjid Raya Raja Hamidah, dulu dikenali sebagai Masjid Agung Batam. Selepas diubah suai, kubahnya biru dan putih dengan lantai marmar bercorak bintang. Dari dataran masjid boleh nampak tulisan Welcome to Batam di atas Bukit Clara.


Senja di Pasir Pink Bluefire Beach Club
Dalam jadual asal, kami nak ke pantai pasir pink pada Hari 2. Akhirnya dapat juga tengok pasir pink di Bluefire Beach Club, Golden Prawn. Tiket masuk Rp50,000 seorang dan termasuk satu minuman atau aiskrim. Budak-budak semestinya pilih aiskrim!


Tips Perjalanan #9: Bluefire ni beach club, jadi waktu malam suasananya lebih kepada hiburan dewasa. Untuk keluarga, datang antara jam 5 hingga 7 petang. Dapat senja, budak-budak boleh main pasir dan balik sebelum suasana bertukar.
Rumusan Hari 3: Dari Puncak Beliung Batam ke Pasir Pink
- 9 pagi hingga 12.30 tengah hari: Puncak Beliung Batam, Sekupang
- 1.30 petang: Makan di RM Talago Surya
- 2.40 petang: Cake Lapis Putri Melayu
- 3.20 petang: Tour 70 Fahrenheit Koffie, Golden City
- 5 petang: Masjid Raya Raja Hamidah, Batam Centre
- 5.30 petang: Senja di Bluefire Beach Club
Malam tu semua tidur awal. Esoknya kami ambil keputusan untuk ‘slow’ sikit dan jadikan Hari 4 sebagai hari santai di mall.

