Hari 4: Hari ‘Slow’ di Grand Batam Mall, Masjid Jabal Arafah dan Supper Mi Bangladesh

  • Post author:
  • Reading time:4 mins read
  • Post published:
  • Post comments:0 Comments

Selepas dua hari berlari dari satu tempat ke satu tempat, Hari 4 Misi Raya ke Batam kami jadikan hari santai. Destinasi utama? Grand Batam Mall. Mak ayah boleh cuci mata, budak-budak boleh main dan semua orang dapat rehat dalam aircond. Hari “slow” macam ni penting bila bercuti dengan anak kecil.

Pagi Rehat, Tengah Hari ke Grand Batam Mall

Pagi tu kami tak pasang jam loceng langsung. Budak-budak bangun lambat, mak ayah pun sama. Selepas Zohor barulah kami bergerak ke Grand Batam Mall di kawasan Penuin, tak jauh dari Nagoya. Lokasi tepat boleh rujuk Google Maps.

Bangunan Grand Batam Mall dari luar
Grand Batam Mall. Antara mall paling besar dan baru di Batam.

Apa Ada di Grand Batam Mall?

Grand Batam Mall memang besar dan bersih. Ada ruang main kanak-kanak di tengah mall, kedai barangan rumah AZKO, butik dan banyak restoran. Anak-anak kecil terus melekat di ruang main, jadi mak ayah boleh bergilir-gilir jalan.

Ruang main kanak-kanak di Grand Batam Mall
Ruang main di Grand Batam Mall. Stroller parking penuh!

Pilihan makanan pun banyak. Ada Thirty Bumbu, Bakso Lapangan Tembak Senayan, Ria dan banyak lagi. Kami ambil masa lama juga nak pilih sebab semua nampak sedap.

Restoran Thirty Bumbu di Grand Batam Mall
Thirty Bumbu antara restoran yang menarik perhatian kami.

Tips Perjalanan #10: Kebanyakan restoran di Grand Batam Mall ada menu bergambar di depan pintu. Semak logo halal atau tanya terus pada staf. Rata-rata mereka faham Bahasa Melayu.

Nasi Goreng dan Martabak Pisang Keju di Martabak HAR

Akhirnya kami makan lewat tengah hari di Martabak HAR, Nagoya. Nasi goreng dan martabak pisang keju jadi pilihan. Martabak ni keju dia bertimbun macam salji atas pisang manis, budak-budak berebut.

Nasi goreng selepas ke Grand Batam Mall
Nasi goreng Martabak HAR. Ringkas tapi kena dengan selera.
Martabak pisang keju di Martabak HAR Batam
Martabak pisang keju bertimbun. Siapa lambat, dapat pinggan kosong.

Petang di Masjid Jabal Arafah

Selepas makan, kami solat di Masjid Jabal Arafah, antara masjid terkenal di Nagoya. Taman depan masjid dihias dengan pokok-pokok yang dipotong cantik dan tulisan nama masjid yang besar.

Masjid Jabal Arafah Batam
Gambar keluarga depan tulisan Masjid Jabal Arafah.

Kemudian kami naik ke menara Masjid Jabal Arafah untuk tengok bandar Nagoya dari atas. Langit mendung, tapi pemandangan bangunan tinggi dan deretan kedai di bawah tetap cantik.

Pemandangan bandar Nagoya dari menara Masjid Jabal Arafah
Pemandangan Nagoya dari menara Masjid Jabal Arafah. Angin petang sejuk sangat.
Bandar Nagoya Batam
Deretan kedai di Nagoya. Inilah kawasan yang kami ‘redah’ sepanjang trip.

Malam: Coklat Import dan Supper Mi Bangladesh

Malam tu kami sambung misi oleh-oleh. Rak coklat import di pasar raya Batam memang banyak pilihan dan harga pun berpatutan. Beg kami makin berat.

Coklat import di pasar raya Batam
Coklat import. Pilih satu, tangan ambil lima.

Lewat malam, perut berbunyi semula. Kami supper di Warkop Agem Medan. Mi Bangladesh dengan kuah pekat dan telur memang padu untuk malam terakhir di Batam.

Mi Bangladesh di Warkop Agem Medan Batam
Mi Bangladesh telur. Pedas dia perlahan-lahan naik.
Supper keluarga di Warkop Agem Medan Batam
Supper malam terakhir bersama keluarga adik di Warkop Agem Medan.

Tips Perjalanan #11: Malam terakhir, mulakan kemas beg. Asingkan barang oleh-oleh yang mudah pecah dan pastikan berat bagasi tak melebihi had feri. Simpan sedikit Rupiah untuk caj di jeti esok.

Rumusan Hari 4: Santai di Grand Batam Mall dan Nagoya

  • Pagi: Rehat di hotel
  • 1 petang: Grand Batam Mall, Penuin
  • 4 petang: Nasi goreng dan martabak pisang keju di Martabak HAR, Nagoya
  • 5 petang: Masjid Jabal Arafah dan pemandangan Nagoya dari menara masjid
  • Malam: Beli coklat import dan supper di Warkop Agem Medan

Hari santai macam ni buat semua orang dapat tenaga semula. Esok hari terakhir, masa untuk pulang ke Johor dengan beg yang dah ‘beranak’.

>

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.