Selepas dua hari berlari dari satu tempat ke satu tempat, Hari 4 Misi Raya ke Batam kami jadikan hari santai. Destinasi utama? Grand Batam Mall. Mak ayah boleh cuci mata, budak-budak boleh main dan semua orang dapat rehat dalam aircond. Hari “slow” macam ni penting bila bercuti dengan anak kecil.
Pagi Rehat, Tengah Hari ke Grand Batam Mall
Pagi tu kami tak pasang jam loceng langsung. Budak-budak bangun lambat, mak ayah pun sama. Selepas Zohor barulah kami bergerak ke Grand Batam Mall di kawasan Penuin, tak jauh dari Nagoya. Lokasi tepat boleh rujuk Google Maps.

Apa Ada di Grand Batam Mall?
Grand Batam Mall memang besar dan bersih. Ada ruang main kanak-kanak di tengah mall, kedai barangan rumah AZKO, butik dan banyak restoran. Anak-anak kecil terus melekat di ruang main, jadi mak ayah boleh bergilir-gilir jalan.

Pilihan makanan pun banyak. Ada Thirty Bumbu, Bakso Lapangan Tembak Senayan, Ria dan banyak lagi. Kami ambil masa lama juga nak pilih sebab semua nampak sedap.

Tips Perjalanan #10: Kebanyakan restoran di Grand Batam Mall ada menu bergambar di depan pintu. Semak logo halal atau tanya terus pada staf. Rata-rata mereka faham Bahasa Melayu.
Nasi Goreng dan Martabak Pisang Keju di Martabak HAR
Akhirnya kami makan lewat tengah hari di Martabak HAR, Nagoya. Nasi goreng dan martabak pisang keju jadi pilihan. Martabak ni keju dia bertimbun macam salji atas pisang manis, budak-budak berebut.


Petang di Masjid Jabal Arafah
Selepas makan, kami solat di Masjid Jabal Arafah, antara masjid terkenal di Nagoya. Taman depan masjid dihias dengan pokok-pokok yang dipotong cantik dan tulisan nama masjid yang besar.

Kemudian kami naik ke menara Masjid Jabal Arafah untuk tengok bandar Nagoya dari atas. Langit mendung, tapi pemandangan bangunan tinggi dan deretan kedai di bawah tetap cantik.


Malam: Coklat Import dan Supper Mi Bangladesh
Malam tu kami sambung misi oleh-oleh. Rak coklat import di pasar raya Batam memang banyak pilihan dan harga pun berpatutan. Beg kami makin berat.

Lewat malam, perut berbunyi semula. Kami supper di Warkop Agem Medan. Mi Bangladesh dengan kuah pekat dan telur memang padu untuk malam terakhir di Batam.


Tips Perjalanan #11: Malam terakhir, mulakan kemas beg. Asingkan barang oleh-oleh yang mudah pecah dan pastikan berat bagasi tak melebihi had feri. Simpan sedikit Rupiah untuk caj di jeti esok.
Rumusan Hari 4: Santai di Grand Batam Mall dan Nagoya
- Pagi: Rehat di hotel
- 1 petang: Grand Batam Mall, Penuin
- 4 petang: Nasi goreng dan martabak pisang keju di Martabak HAR, Nagoya
- 5 petang: Masjid Jabal Arafah dan pemandangan Nagoya dari menara masjid
- Malam: Beli coklat import dan supper di Warkop Agem Medan
Hari santai macam ni buat semua orang dapat tenaga semula. Esok hari terakhir, masa untuk pulang ke Johor dengan beg yang dah ‘beranak’.

